AZLAN Man (dua dari kiri) dalam sidang akhbar sempena Pesta Angin Timur 2021 di Kangar, Perlis hari ini.
 

KANGAR: Penganjuran Pesta Angin Timur yang buat julung kalinya diadakan melalui dalam talian (online) pada 4 hingga 5 Jun depan diyakini tetap meriah dan dijangka mampu menarik lebih 30,000 tontonan sepanjang dua hari itu.

Program yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya itu akan dipancarkan secara langsung menerusi Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Pesta Angin Timur Perlis itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan kerajaan negeri yang dikelolakan oleh JKKN negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, program tahunan itu tidak dapat dilaksanakan secara fizikal seperti tahun-tahun sebelumnya berikutan pandemik Covid-19.

PESTA Angin Timur Perlis 2021

Katanya, semua aktiviti adalah secara rakaman atau langsung yang akan dipancarkan menerusi media sosial JKKN.

“Pesta Angin Timur meskipun diadakan secara dalam talian namun matlamat tetap sama dalam mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai salah satu produk industri pelancongan di negeri itu.

“Aktiviti-aktiviti yang akan diadakan adalah seperti tahun sebelum ini cuma pada kali ini dibuat secara rakaman dan disiarkan secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Pesta Angin Timur 2021@Online (PAT2021@Online) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad dan Pengarah JKKN negeri, Samsuring Meli.

Antara pengisian aktiviti adalah seperti pertandingan cabaran canggung, persembahan kesenian seperti hadrah, tarian terinai, Awang Batil, alu bunyi, jikey, lagu loghat Perlis, persembahan nyanyian, wayang kulit, gendang Perlis dan pelbagai lagi.

Demonstrasi seperti wau helang, masakan makanan tradisional Perlis, penanaman harumanis dan pelbagai lagi aktiviti menarik lain turut diadakan.

Pesta Angin Timur dianjurkan sejak 2011 dengan edisi pertama berlangsung di Kampung Banir, Tembus Simpang Empat dan setiap tahun program tahunan itu terus menarik perhatian orang ramai dengan ratusan ribu pengunjung dicatatkan.

Sementara itu, Samsuring berkata, Pesta Angin Timur merupakan program tahunan yang mencerminkan kehidupan dan budaya rakyat di negeri ini.

“Disamping itu, ianya juga sebagai satu usaha menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri yang masih utuh dengan kesenian tradisional sebagai tarikan kepada pelancong,” katanya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/05/pesta-angin-timur-online-meriah-sasaran-30000-tontonan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pesta-angin-timur-online-meriah-sasaran-30000-tontonan